REMBAU – Kurang 30 jam selepas meloloskan diri dari polis, tiga lelaki warga asing berjaya ditangkap unit kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di tepi jalan Rembau-Sepri, di sini, 7 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Arifai Tarawe berkata, bagaimanapun dua masih lagi diburu sejak insiden berkenaan terjadi awal pagi semalam.
“Suspek berusia 20 hingga 42 tahun kini direman empat hari bagi membantu siasatan. Motif kejadian masih dalam siasatan, namun, kita tidak menolak kesemua mereka takut kerana tidak memiliki dokumen. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan sebuah kenderaan dipercayai dinaiki empat lelaki terbabas ke dalam longkang di daerah ini setelah lebih 20 kilometer diekori polis dari Senawang, Seremban.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Rosli Ishak dilaporkan berkata, kira-kira 2.40 pagi telah berlaku satu kejadian kejar mengejar di antara pihak polis dan sebuah kenderaan jenis Honda Jazz berwarna kelabu dari hadapan Mydin Senawang sehingga Jalan Lee Poon, Rembau. – KOSMO! ONLINE