AMSTERDAM, Belanda – Sebuah syarikat penerbangan dari Belanda, Corendon mencadangkan zon bebas kanak-kanak diwujudkan di dalam pesawat komersialnya, menyebabkan ia menerima kritikan hebat di platform media sosial, lapor laman berita Daily Express semalam.
Syarikat tersebut menyatakan, langkah itu bertujuan memenuhi keperluan para penumpang untuk melancong tanpa kanak-kanak atau mereka yang memerlukan ketenangan untuk bekerja.
“Zon di dalam pesawat ini adalah untuk penumpang yang melakukan perjalanan tanpa kanak-kanak dan pengembara perniagaan.
“Pada masa sama, pengenalan zon dewasa sahaja juga memberi kesan positif kepada ibu bapa yang mempunyai anak.
“Mereka tidak perlu risau mengenai reaksi negatif daripada penumpang lain jika anak mereka menangis,” kata jurucakap Corendon.
Namun, idea itu mendapat kritikan meluas dengan seorang pengguna menulis: “Syarikat penerbangan ini sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan zon bebas kanak-kanak di dalam pesawat. Saya tidak boleh memutuskan sama ada ini adalah perubahan distopia atau tidak tetapi secara amnya, ia sangat menyedihkan untuk melihat betapa sedikit toleransi terhadap kanak-kanak dan bayi.”
“Saya tidak menyangka bahawa saya amat mahukan zon dewasa sahaja di dalam penerbangan sehinggalah @Corendon_Air mencadangkannya,” kata pengguna yang menyokong saranan itu. – AGENSI