PETALING JAYA – Seorang wanita dilaporkan bersalin di dalam sebuah lori tangki dalam kejadian di Kilometer 121 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) iaitu menghala ke Kuantan, Pahang semalam.
Kejadian tersebut diceritakan oleh seorang Pegawai Perubatan, Dr. Aliff Zaki menerusi aplikasi X apabila ditugaskan mengendalikan kes tersebut.
“Beranak dalam lori di lebuh raya. Pengalaman perkhidmatan. Dapat panggilan ada kes nak bersalin dalam lori. Maklumat pasal ibu minimum. Sepanjang persiapan di klinik, dua tiga kali senarai semak barang-barang kerana ‘expect the worst’ (jangkakan yang terburuk).
“Dalam ambulans masing-masing berteka teki apakah keadaan ibu? Dah bersalin ke belum? Kalau dah, keadaan bayi macam mana?,” katanya pada hantaran itu, malam tadi.
Beliau berkata, setibanya di lokasi, dua pegawai polis trafik menjaga lalu lintas tersebut manakala kelihatan pintu lori itu terbuka luas.
“Nampak di rumput pakaian yang berlumuran darah dan najis. Bau tu memang tak disangkal kepekatannya. Tanya pasangan, “mana si ibu?”. “Ada dalam lori, di tempat duduk belakang” jawabnya.
“Memanjat lori bersaiz Optimus Prime, nampak dua susuk tubuh terbaring. Si ibu pejam mata dan ada jasad kecil di celah kangkang. Hati dah berdebar. Aku tegur si ibu, “puan, boleh dengar saya cakap? Buka mata boleh”. Si ibu buka mata dan sahut “ya dengar”, hati lega.
“Mata beralih ke si anak pula, nampak tak bergerak. Alamak, aku pegang kaki bayi, jentik tapak kaki, keluar suara kecil menangis. Hati kembali lega, peluh jantan tak jadi keluar,” katanya.
Dr. Aliff Zaki berkata, beliau meneruskan prosedur memotong tali pusat dan lain-lain serta membalut bayi dengan kain tuala dan membawanya keluar dari lori.
“Pesakit diambil alih oleh SN Sue. Mencuci darah, periksa tahap koyak dan membersihkan ibu setakat boleh. JM Azlina tunggu di luar untuk keperluan lain-lain.
“Ambulans selesai buat u-turn, pesakit dan bayi dimasukkan dan perjalanan ke dewan bersalin Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) diteruskan. Terima kasih pihak LPT, polis trafik dan staf ‘labor room’ HoSHAS kerana memudahkan urusan. Pengalaman sepanjang hayat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE