fbpx

Pintu tidak ditutup kemas punca budak jatuh pusingan U

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video seorang kanak-kanak terjatuh sebelum dirempuh sebuah SUV di kawasan lampu isyarat depan Kota Sri Mutiara, Jalan Sultan Yahya Petra di Kota Bharu kelmarin.

KOTA BHARU – Ibu bapa kanak-kanak yang terjatuh dari pintu belakang sebuah kereta sedang membuat pusingan U di kawasan lampu isyarat depan Kota Sri Mutiara, Jalan Sultan Yahya Petra di sini kelmarin sudah hadir memberi keterangan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu di sini semalam.

Menurutnya, mereka tampil di IPD Kota Bharu bagi membantu siasatan berkait kejadian tersebut.

“Ibu bapa kanak-kanak itu memberikan kerjasama kepada pihak polis. Siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih lagi diteruskan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki nyaris maut selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terjatuh dari pintu belakang sebuah kereta sedang membuat pusingan U.

Video kejadian itu tular di media sosial apabila kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kereta sempat merakam kejadian tersebut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, berdasarkan rakaman video kamera papan pemuka sebuah kereta yang tular mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.42 petang.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku akibat kegagalan pemandu kereta yang dinaiki kanak-kanak tersebut untuk memastikan pintu penumpang sebelah kiri ditutup dengan kemas.

“Pemandu kereta juga dipercayai tidak memastikan kanak-kanak itu memakai tali pinggang keledar.

“Sehubungan itu, polis mengesan pemandu kereta dan kanak-kanak itu bagi membantu siasatan,” katanya.

Berdasarkan video yang tular, sebuah kereta jenis Honda City berwarna kelabu sedang membuat pusingan U di lampu isyarat yang terletak di depan kompleks beli-belah itu.

Semasa melakukan pusingan, pintu belakang sebelah kiri kereta itu tiba-tiba terbuka sebelum seorang kanak-kanak terjatuh dari kereta tersebut.

Sebuah kereta berwarna putih di belakang Honda City itu sempat mengelak, namun sebuah SUV Perodua Attiva merempuh mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI