fbpx

Tiga lelaki didakwa peras ugut remaja sehingga serah RM283,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan sehingga mendorong seorang remaja lelaki menyerahkan RM283,000, dua minggu lalu.

Bagaimanapun ketiga-tiga tertuduh iaitu pekerja kedai runcit, Yap Ming Shuia, 31; peniaga rokok elektronik, Low Kah Wei, 26 dan bekerja sendiri, Ivan Heah Khai Yee, 23 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim, Norina Zainol Abidin.

Mengikut pertuduhan, tiga tertuduh dengan seorang lagi yang masih bebas, didakwa melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada remaja berusia 18 tahun, sehingga mendorong mangsa membuat transaksi RM283,000 secara dalam talian ke beberapa akaun bank.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Bandar Bukit Jalil pada antara pukul 11.06 pagi 29 September hingga 12.30 tengah hari pada 3 Oktober lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 20 November depan.

Pada 11 Oktober lalu, media melaporkan seorang remaja terpaksa menyembunyikan diri dan membuat bayaran sebanyak RM283,000 kepada sindiket penipuan, selepas dihubungi ‘scammer’ yang menyamar sebagai pegawai polis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI