LONDON – Perkembangan pemain pertahanan, Cristian Romero yang menghabiskan tugasnya bersama skuad kebangsaan Argentina tidak begitu menggembirakan Tottenham Hotspur yang bakal berdepan Fulham pada aksi Liga Perdana Inggeris Selasa ini.
Romero disenaraikan ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Peru kelmarin dan turut beraksi sepenuh masa ketika menentang Paraguay pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun, ketika menentang Peru dia gagal menamatkan aksi dan terpaksa digantikan dengan German Pezzella selepas babak kedua bermula ketika dia berdepan saingan fizikal oleh penyerang lawan, Paolo Guerrero.
Situasi berkenaan nyata bukan sesuatu yang diinginkan oleh pengendali Spurs, Ange Postecoglou selepas Romero berjaya membentuk gandingan mantap bersama Micky Van De Ven untuk membantu pasukan itu kekal dengan rekod tanpa kalah.
Perjalanan pulang dari Buenos Aires ke London yang melalui tempoh yang panjang juga menambah kerisauan Postecoglou yang bimbang pemain itu lambat menjalani proses pemulihan sehingga menjejaskan peluangnya untuk beraksi pada perlawanan itu nanti.
Selain isu yang dihadapi Romero, pengurus dari Australia itu juga terpaksa berdepan kemungkinan tidak dapat menurunkan kaptennya, Son Heung-min yang masih bergelut dengan masalah kecergasan.
Heung-min hanya beraksi dalam satu daripada dua perlawanan persahabatan antarabangsa ketika Korea Selatan membelasah Vietnam 6-0. – AGENSI