GEORGE TOWN – Seramai 1,011 pelajar daripada 62 buah sekolah rendah dan menengah di negeri ini menerima sumbangan cermin mata dari Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Rozali Mohamud berkata, program tersebut memfokuskan kepada pendidikan melalui pemberian cermin mata percuma sekali gus bagi meringankan beban kewangan ibu bapa daripada kumpulan B40.
Menurutnya, penganjurannya juga bertujuan meningkatkan keupayaan pelajar, mengikuti dan memahami pelajaran melalui penglihatan yang jelas sempena Hari Penglihatan Sedunia yang disambut pada 13 Oktober lalu.
“Jumlah penerima adalah terdiri daripada 689 (pelajar Melayu), 196 (Cina) dan 126 ( India) membabitkan 538 pelajar perempuan serta 473 pelajar lelaki.
“Pelajar yang menerima faedah pemeriksaan dan pemberian cermin mata percuma telah meningkat sebanyak 421 peratus iaitu daripada 240 pelajar pada tahun 2022 kepada 1,011 pada tahun 2023 manakala 62 buah sekolah telah terpilih berbanding hanya 20 buah sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Pemeriksaan dan Sumbangan Cermin Mata Percuma yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai di sini, sebagai tuan rumah bagi menjayakan majlis tersebut.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak hadir menyantuni dan menyampaikan cermin mata percuma kepada pelajar berkenaan.
Pada 12 September lalu, SK Seri Permai berjaya mencipta sejarah negara apabila dinobatkan antara tiga Sekolah Terbaik Dunia dalam Pertandingan World Best School Prizes (WBSP) bagi Kategori Inovasi. Kejayaan itu diperoleh menerusi inovasi Smart n Easy Table 2.0 (SnET).
Selain SK Seri Permai, dua lagi finalis adalah Crimson Global Academy New Zealand dan The Riverside School India. -KOSMO! ONLINE