fbpx

Bekas kontraktor didakwa kemuka dokumen palsu kepada Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Fauzi (tengah) diiringi pegawai SPRM ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pemilik syarikat kontraktor pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berhubung Program Penjana Kerjaya 2.0 (Penjana), dua tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Muhammad Fauzi Abdul Latiff, 30, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa sebagai pemilik sebuah syarikat kontraktor pembinaan telah mendaftarkan 14 nama pekerjanya dalam Sistem Penjana Kerjaya 2.0 kepada seorang Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat untuk memperdaya dan mengelirukan Perkeso bahawa dokumen tersebut mengandungi butiran palsu sedangkan 14 penama tersebut bukanlah kakitangan syarikat berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Unit Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan, Perkeso Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada 23 Mac dan 23 April 2021.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam prosiding sama, tertuduh juga turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pilihan iaitu sebagai pemilik syarikat , telah menggunakan dua Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Prambilan Pekerja (Hiring Insentive Program) sebagai tulen, dalam Sistem Penjana Kerjaya 2.0 yang mana dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen-dokumen tersebut adalah palsu, pada tarikh dan lokasi serupa.

Bagi kedua-dua pertuduhan pilihan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua- duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan tersebut berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Mohamed Mustapha memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin itu dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

‘”Tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Sepanjang siasatan dijalankan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik dan pada pendakwaan kes hari ini, tertuduh sendiri hadir ke mahkamah,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Tarikh 1 Disember ini ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI