KUALA LUMPUR – Malaysia akan menggunakan semua usaha diplomatik untuk bekerjasama dengan negara sekutu bagi menyelesaikan kezaliman rejim Israel ke atas penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berhubung konflik yang dihadapi Palestin dengan Israel, komitmen Malaysia seharusnya tidak perlu dipersoalkan.
“Apa yang kita saksikan di Gaza sangat sukar untuk kita proses, walaupun ada segelintir mereka sudah biasa melihat kesan peperangan dan keganasan.
“Kesukaran itu bukan sahaja terletak kepada tragedi besar yang sedang berlaku, tetapi juga penderitaan yang menanti,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Persatuan Undang-Undang ASEAN ke-14 dan Persidangan Undang-Undang ASEAN 2023 di Hotel Shangri-La, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kekejaman yang menimpa rakyat Palestin berkait rapat dengan undang-undang yang mana ia perlu dipertahankan.
“Sepatutnya begitu terutama bagi negara-negara besar yang sentiasa mendakwa bahawa mereka menyokong perintah antarabangsa berasaskan undang-undang.
“Tetapi negara-negara yang sama ini cepat mendiamkan diri apabila ia melibatkan Israel, selain mengabaikan undang-undang antarabangsa.
“Ini kerana terdapat sesetengah negara mempunyai komitmen lebih tinggi terhadap pemerintah kuku besi yang bersikap kejam dan mempunyai tujuan jahat,” ujarnya.
Justeru, Anwar berkata, Malaysia terus komited dalam menegakkan undang-undang antarabangsa yang mana kemakmuran negara ini adalah berdasarkan keutamaan peraturan.
“Marilah kita menghayati semangat kerjasama dengan mengumpulkan sumber bagi mencipta kekuatan yang mampu mengatasi sebarang cabaran.
“Sekarang, masa untuk kita bertindak bersama-sama sekali gus mencipta legasi yang bakal diraikan bagi generasi akan datang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE