PETALING JAYA – Meletakkan kesalahan kepada diri sendiri, penyanyi Liza Hanim akur apabila sekadar menduduki tempat kedua dalam Konsert All Stars Gegar Vaganza (GV10) minggu keempat selepas markahnya dipotong lima mata.
Jelas pemilik nama penuh Haliza Hanim Abdul Halim itu, kesilapan datang daripada pihaknya yang tidak peka dengan syarat pertandingan.
“Saya tidak menyalahkan sesiapa, kami sudah lakukan yang terbaik, mungkin saya terlepas pandang tentang peraturan markah akan dipotong sekiranya menyanyi lagu asal bersama rakan duet.
“Perbezaan markah saya dengan Noryn Aziz terlalu sikit, saya anggap ini bukan rezeki saya, namun tuah buat Noryn dan Liza Aziz,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Enggan terlalu memikirkan perkara tersebut, pelantun lagu Gelisah Mimpi itu menerima keputusan konsert GV10 minggu keempat lalu dengan hati terbuka.
“Tiada istilah menyalahkan sesiapa, kerana keputusan malam tersebut memang seadil-adilnya, kak Ziana Zain pun sangat membantu persembahan saya.
“Apapun, itu sememangnya peraturan, saya perlu akur, saya sudah lakukan yang terbaik, memang silap saya sendiri tidak meneliti setiap garis panduan pertandingan.
“Saya yakin semua peserta sudah buat yang terbaik dan diadili sebaiknya, tiada perlu timbul pertikaian mahupun salahkan sesiapa, rezeki itu milik Allah,” ujarnya.
Sementara itu, penyanyi berusia 43 tahun itu meminta jasa baik peminatnya agar tidak bertelagah dalam media sosial mahupun mempertikaikan keputusan juri.
“Jangan bergaduh, teruskan menyokong saya, dalam pertandingan kadang-kadang ada yang kita terlepas pandang, mungkin ada rezeki lain buat saya, saya percaya semuanya ada hikmah tersendiri.
“Tiada apa yang boleh saya katakan selain percaya kepada rezeki, semuanya milik Allah, malam tersebut tuah menyebelahi Noryn Aziz dan dia sangat layak untuk itu,” ulasnya.
Terdahulu, juri tetap GV10, Datuk Ramli MS berkata, penyanyi Liza Hanim sepatutnya layak menduduki tempat pertama dalam konsert minggu keempat minggu lalu, namun markahnya terpaksa dipotong lima mata sekali gus berada di tempat kedua.
Jelas maestro muzik itu, markah Liza dipotong kerana menyanyikan Madah Berhelah, lagu asal dendangan rakan duetnya, Ziana Zain.
Susulan itu, peminat Liza tampil mempertikaikan keputusan tersebut dalam media sosial selain menyifatkan peserta yang mendapat tempat pertama malam itu tidak selayaknya menang.
Menerusi konsert minggu keempat GV10 lalu, penyanyi Noryn Aziz yang menyampaikan lagu I Am Very Woman bersama Liza Aziz menduduki tempat pertama dengan markah sebanyak 85.25 peratus.
Manakala Liza Hanim yang menduduki tempat kedua pula cuma kalah tipis apabila memperoleh markah sebanyak 85 peratus dengan perbezaan cuma 0.25 peratus. – KOSMO! ONLINE.