KLUANG – Seorang pelajar sebuah kolej vokasional maut manakala rakannya parah selepas terlibat dalam kemalangan dipercayai ketika berlumba haram di Kilometer 59, Jalan Kota Tinggi – Kluang malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.15 malam tadi itu melibatkan dua buah motosikal Yamaha LC ditunggang remaja 16 dan 18 tahun dengan sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun.
Katanya, siasatan awal kedua-dua penunggang motosikal itu dipercayai sedang berlumba dari arah Kluang ke Kota Tinggi manakala kereta Perodua Myvi yang berada di hadapan turut dalam arah perjalanan sama.
“Sebaik sampai di lokasi kejadian, kedua-dua penunggang motosikal secara tiba-tiba hilang kawalan sehingga menyebabkan mereka melanggar belakang kereta yang bergerak perlahan kerana mahu memasuki simpang ke Felda Ulu Penggeli.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa berusia 16 tahun yang juga pelajar sebuah kolej vokasional mengalami kecederaan dalaman badan serta kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi penunggang patah tangan kanan selain cedera di beberapa bahagian badan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Bahrin lagi, kedua-dua mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk proses bedah siasat dan rawatan manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.-KOSMO! ONLINE