LUMUT – Tindakan seorang kanak-kanak bermain dengan mesin larian setempat atau treadmill mengundang padah apabila tangannya tersepit dalam mesin berkenaan dalam kejadian di sebuah rumah di Batu 14, Lekir dekat sini tengah hari tadi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Khairul Azizi Kamarudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.54 tengah hari sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati tangan kanan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun telah tersepit di dalam mesin treadmill.
“Anggota kemudian mengambil tindakan menggunakan pemutar skru dan peralatan menyelamat lain bagi meregangkan kawasan putaran mesin tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, sebaik tempat putaran mesin itu diregangkan, tangan kanak-kanak itu berjaya ditarik keluar dari mesin tersebut.
“Mangsa hanya mengalami luka ringan di tangan dan anggota menasihatkan ibu bapa kanak-kanak itu agar membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 1.38 tengah hari,” katanya. – K! ONLINE