fbpx

Dua cedera, kayu balak hempap lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan lori membawa muatan habuk kayu yang terbalik selepas dihempap sebatang kayu balak di Kilometer 159 Jalan Jerangau–Jabor berhampiran berhampiran Bandar Cheneh Baru dekat Kemaman hari ini.

KEMAMAN – Dua lelaki yang sedang berehat di dalam sebuah lori nyaris maut selepas kenderaan membawa muatan habuk kayu itu dihempap sebatang kayu balak di Kilometer 159 Jalan Jerangau–Jabor berhampiran berhampiran Bandar Cheneh Baru dekat sini hari ini.

Kayu balak itu terlucut daripada sebuah lori lain selepas besi penghadang kenderaan tersebut tiba-tiba patah sewaktu melalui lokasi kedua-dua mangsa sedang berehat pada pukul 3.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa, Mohd. Badrulhisham Zulkifli yang merupakan pemandu lori membawa muatan habuk kayu itu terseliuh bahu kiri manakala kelindan lori, Mohd. Shafiq Aizat Zulkifli, 22, pula luka pada tangan kiri.

Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila besi penghadang lori membawa kayu balak tersebut yang dalam perjalanan ke Jerangau, Hulu Terengganu dari Jabor dekat sini tiba-tiba patah.

“Timbunan kayu balak di dalam lori itu kemudiannya terlucut keluar dengan sebatang daripadanya menghempap lori dinaiki mangsa yang sedang berehat di tepi jalan.

“Impaknya lori dinaiki kedua-dua mangsa terbalik secara mengiring sementara lori membawa kayu balak terbabit pula terbabas di laluan bertentangan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Hanyan berkata, kemalangan itu menyebabkan laluan berkenaan terpaksa ditutup untuk beberapa jam bagi kerja-kerja mengalihkan timbunan kayu balak yang bertaburan di atas jalan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI