WASHINGTON – Cili Carolina Reaper bukan lagi paling pedas di dunia selepas seorang petani memperkenalkan lada Pepper X, demikian menurut Guinness World Records seperti dilaporkan portal berita UPI semalam .
Berdasarkan data Universiti Winthrop di Carolina Selatan, cili Carolina Reaper mencatatkan bacaan 1.64 juta Unit Pedas Scoville (SHU), manakala Pepper X merekodkan purata 2,693,000 SHU.
Sehubungan itu, Guinness World Records mengumumkan Pepper X secara rasmi merupakan cili terpedas di dunia.
Pengasas Syarikat Puckerbutt Pepper dan pencipta cili Carolina Reaper, Ed Currie melancarkan Pepper X di saluran YouTube popular, First We Feast.
Katanya, dia mengambil masa 10 tahun untuk menghasilkan cili super pedas itu.
Buat masa kini, cili Pepper X tidak disediakan secara komersial tetapi orang ramai dapat mencubanya melalui sos pedas Pepper X yang dijual di pasaran. – AGENSI