PETALING JAYA – Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) telah memutuskan untuk tidak meletakkan calon bagi bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sarawak.
Setiusaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya akan memberi tumpuan untuk mempertahankan kerusi di Parlimen Kemaman yang bakal diadakan pada 2 Disember nanti.
“Adalah dimaklumkan bahawa MT Perikatan Nasional memutuskan bahawa Perikatan Nasional tidak akan meletakkan calon untuk bertanding di PRK bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Jepak, Sarawak.
“Perikatan Nasional akan memberikan tumpuan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya Kecil yang akan diadakan pada 2 Disember 2023,” jelasnya melalui satu kenyataan hari ini.
Tambah Hamzah, dalam waktu yang sama, komponen-komponen parti dalam Perikatan Nasional juga sedang sibuk menguruskan Mesyuarat Agung Tahunan Parti di peringkat cawangan, bahagian dan nasional. – KOSMO! ONLINE