TEL AVIV – Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden tiba di Israel hari ini dalam kunjungan solidariti susulan serangan Hamas, namun lawatan beliau dibayangi letupan dahsyat sebuah hospital di Gaza yang menyemarakkan ketegangan serantau.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sendiri menyambut Biden. Dia memeluk Presiden AS itu dalam tanda hubungan erat baharu antara kedua-dua pemimpin.
Mereka berbual pendek di Lapangan Terbang Ben Gurion yang dikawal ketat sebelum konvoi kedua-duanya bergerak menuju ke sebuah hotel di Tel Aviv untuk bermesyuarat.
Beratus-ratus anggota polis dan askar lengkap bersenjata mengawal kawasan hotel di Tel Aviv yang menjadi lokasi pertemuan Biden dan Netanyahu dengan pasukan penembak tepat berkawal di atas bumbung-bumbung vila berdekatan.
Tel Aviv terletak hanya 65 kilometer dari Semenanjung Gaza iaitu wilayah pentadbiran Hamas.