Apa hukumnya jika seorang penulis menulis novel yang mempunyai watak perempuan tidak menutup aurat? Bagaimana pula jika novel itu mengisahkan seorang lelaki yang banyak melakukan kerja haram seperti tidak jaga batas pergaulan dan tidak solat, namun penulis itu menerangkan perbuatannya salah dan watak itu akhirnya berubah?
JAWAPAN: Sesungguhnya setiap umat Islam memiliki kebebasan memberikan pendapat yang juga merupakan hak individu paling penting.
Kebebasan bersuara boleh dimaksudkan kebebasan menyuarakan sesuatu pandangan secara verbal termasuk tindakan mencari, menerima dan menyebarkan maklumat tanpa sekatan. Pada dasarnya, kebebasan bersuara merupakan hak individu yang dijamin oleh agama Islam.
Pentingnya pada zaman ini, penyampaian dakwah itu dapat disampaikan kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk.
Begitulah juga melalui bacaan dan ia dapat juga menjadi uslub dakwah. Hukum menulis novel pada dasarnya adalah harus. Ia bergantung kepada objektif dan motif penulisan tersebut. Sekiranya objektif tersebut murni dan boleh mendorong kepada kebaikan, maka penulisan tersebut mendapat pahala. Sebaliknya, jika ia mendorong kepada kemaksiatan, kemungkaran dan kejahatan maka hukumnya haram.
Sekiranya ia untuk tujuan dakwah iaitu sebagai kesedaran para pembaca dan menyeru mereka ke arah kebaikan, maka hukumnya adalah harus dan mendapat pahala.
Bagaimanapun, sekiranya penulisan itu adalah mendorong kepada keburukan dan perkara yang ditegah syarak, maka hukumnya adalah haram. Firman Allah SWT: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. (Surah An-Nahl ayat 125)
Penceritaan berkenaan menutup aurat itu tidaklah keterlaluan.
Di dalam al-Quran sendiri terdapat banyak kinayah apabila berkaitan dengan hal-hal sulit seperti dalam konteks hubungan suami isteri.
Islam telah menggariskan panduan bagi sebarang bentuk penulisan agar terpelihara daripada fitnah dan keburukan, antaranya adalah:
i. Sesuatu idea yang disuarakan perlu mempunyai tujuan baik dan niat ikhlas.
ii. Tidak menggunakan idea dan pemikiran tersebut ke arah kemaksiatan, fitnah, gosip, dusta, tahyul, seks bebas, imaginasi, khurafat atau bid’ah yang mendatangkan kekeliruan kepada akidah, syariah dan nilai-nilai akhlak Islam.
iii. Tidak mempromosi idea dan fahaman mengelirukan masyarakat Islam seperti anjuran persamaan lelaki dan wanita, pluralisme dan liberalisme Islam, ajaran sesat, penolakan hadis, mengkritik tradisi ilmu Islam, para ulama dan lain-lain perbuatan fasad.
Justeru, setiap umat Islam hendaklah berhati-hati dalam setiap perbuatan agar tidak terjerumus ke dalam kancah keburukan sehingga mengundang kemurkaan Allah.
Selaku umat Islam, kegiatan dakwah terhadap masyarakat Islam haruslah terus dikembangkan dengan uslub dakwah yang berbeza mengikut kemampuan masing-masing.