KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai RM3.1 juta hasil maklumat orang awam yang melihat kegiatan mencurigakan ahli sindiket berkenaan.
Dalam serbuan tersebut, dua lelaki ditahan membawa kepada rampasan methamphetamin seberat 93.8 kilogram di Batu Caves, Ahad lepas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua individu yang ditahan merupakan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berperanan transporter bagi sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
“Kami dapati dadah yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta ini diambil dari negera jiran diutara tanah air.
“Dadah ini akan diseludup keluar untuk dipasarkan ke Indonesia dan dikesan bergerak aktif sejak Januari lepas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.
Hussein berkata, serbuan pada pukul 9.35 malam itu merupakan hasil maklumat awam yang mencurigai tindakan lelaki tempatan berkenaan.
Jelas beliau, susulan tangkapan ke atas lelaki tempatan berusia 34 tahun yang bekerja sebagai mekanik kenderaan itu membawa kepada penemuan sebuah kereta Nissan Almera yang diletakkan di kawasan berhampiran.
“Kita menemukan dadah tersebut yang diletakkan dalam empat beg kanvas dan satu guni ditempat duduk belakang dan bonet,” katanya.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, susulan penemuan itu lelaki berkenaan membawa anggota ke sebuah kondominium berhampiran dan berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun.
Katanya lelaki tempatan yang ditahan mempunyai tiga kes lampau membabitkan jenayah dan dadah.
“Selain dadah, polis turut merampas tiga buah kenderaan dan wang tunai sebanyak RM500, jumlah keseluruhan rampasan RM3.22 juta.
“Kedua-dua mereka direman sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE