KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat kecoh apabila Khoo Poay Tiong (Kota Melaka-PH) menyatakan menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin lari ke luar negara semasa Ahli Parlimen Pagoh itu sedang membahaskan isu beras.
Perbuatannya itu menimbulkan rasa tidak puas hati Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang mendesak supaya kenyataan tersebut ditarik balik kerana dianggap keluar daripada tajuk perbahasan.
Poay Tiong bagaimanapun enggan berbuat demikian meskipun beliau turut diminta oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng supaya menarik balik kenyataan tersebut.
“Pagoh tadi kata ragu-ragu subsidi yang dapat dijimatkan sampai kepada rakyat. Kenapa Pagoh ragu? Adakah sewaktu Pagoh jadi Perdana Menteri tidak berhemah sehingga anak menantu cabut ke luar negara. Kenapa anak menantu sampai hari ini tak balik untuk hadapi siasatan SPRM?,” kata Poay Tiong.
Ahli Parlimen PN yang jelas tidak berpuas hati dengan kenyataan Poay Tiong kemudian mengelarnya sebagai bangsat dan Yahudi menyebabkan RSN Rayer (Jelutong-PH) pula berdiri meminta Ahli Parlimen PN supaya menarik balik kenyataan mereka.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN turut menyifatkan kenyataan Poay Tiong itu berniat jahat dan memintanya supaya menarik balik kenyataan berkenaan.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat seterusnya mengulangi arahan supaya Poay Tiong menarik balik kenyataannya dan turut meminta
Datuk Awang Hashim (Pendang-PN) menarik balik kenyataan Zionis terhadap Poay Tiong.
“Apa dikata Kota Melaka telah keluar tajuk. Kita bincang beras kenapa sentuh menantu pulak.? Saya harap Kota Melaka tarik balik,” kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Awang kemudian menarik balik kenyataan Zionis terhadap Poay Tiong, namun Poay Tiong direhatkan sementara daripada persidangan kerana enggan berbuat perkara sama.
Terdahulu, Muhyiddin menyatakan situasi bekalan dan keterjaminan makanan dalam negara ketika ini berada dalam keadaan krisis.
Bagaimanapun, kata beliau, Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh kerajaan dilihat tidak menekankan perancangan terperinci dalam mengatasi masalah tersebut. – KOSMO! ONLINE