KONFLIK Palestin-Israel yang membanjiri ruang media arus perdana dan media sosial pasti menimbulkan pelbagai persoalan terutama kepada kanak-kanak.
Pelbagai gambar dan video berkaitan perang yang menyayat hati pasti menyentuh emosi kanak-kanak.
Selain itu, perkataan-perkataan berbaur rasis dan tidak berperikemanusiaan banyak di bahagian komen pada setiap perkongsian.
Biarpun ibu bapa boleh melarang anak-anak daripada melihat bahan media, namun itu tidak menjamin mereka tidak terdedah kepada maklumat tersebut.
Pada minggu ini, Horizon ingin berkongsi tip kepada ibu bapa untuk membantu anak-anak mereka memproses maklumat berkaitan Palestin-Israel.
Selidik perkara yang mereka telah ketahui
Dewasa ini, kanak-kanak mampu mendapat berita dengan pelbagai cara. Jadi, penting untuk ibu bapa selidik perkara yang mereka lihat dan dengar.
Ini adalah peluang untuk membetulkan sebarang maklumat tidak tepat yang mungkin ditemui oleh mereka sama ada secara dalam talian, televisyen, sekolah atau daripada rakan.
Penting untuk ibu bapa tidak terlebih beremosi kerana ia akan menambahkan lagi kekeliruan dalam diri kanak-kanak tersebut.
Sebarkan belas kasihan, bukan stigma
Konflik perang sering dikaitkan dengan prasangka dan diskriminasi, sama ada terhadap bangsa, agama, rakyat serta negara.
Kurangkan bercakap dalam konteks politik yang sukar difahami oleh kanak-kanak, tetapi lebihkan bercerita dalam konteks kemanusiaan.
Ini akan memupuk perasaan empati dalam diri mereka berbanding cenderung berprasangka buruk dengan rakan sekolah mereka yang berlainan bangsa dan agama.
Ajak anak-anak beri sumbangan
Perasaan bersalah boleh timbul dalam diri kanak-kanak terutama apabila mereka rasa tidak berdaya untuk membantu secara langsung.
Oleh itu, penting untuk ibu bapa melibatkan sekali anak-anak mereka ketika melakukan aktiviti amal.
Antara yang boleh dilakukan adalah dengan menderma wang dan menjalankan kempen solidariti.
Ambil masa untuk bermuhasabah
Sebagai rakyat Malaysia yang hidup aman setelah 66 tahun merdeka, sudah tentu perang merupakan sesuatu yang tidak wujud dalam memori anak-anak kecil.
Oleh itu, penting untuk ibu bapa mengambil sedikit masa untuk mengajar anak-anak mensyukuri nikmat keamanan yang mereka miliki.
Sentiasa terbuka mendengar luahan
Ibu bapa perlu sentiasa terbuka sekiranya anak-anak mahu berkongsi tentang maklumat berkaitan ancaman perang yang mereka perolehi.
Sebagai contoh, berita ancaman bom dalam negara baru-baru ini yang mungkin menimbulkan perasaan panik dan tidak tenteram.
Ini akan membantu mereka untuk berasa lebih selamat dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita yang diterima.