fbpx

Percutian penuh aktiviti di Pulau Carey

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUNJUNG berpeluang mandi di kawasan air terjun Batu Fall yang terdapat dalam taman tema air Riverine Splash.

PERJALANAN ke Pulau Carey, Selangor yang terletak lebih kurang 60 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur sememangnya tidak sama dengan pengalaman pergi ke pulau-pulau lain.

Ini kerana, pengunjung tidak akan menempuhi laluan laut, sebaliknya mereka hanya perlu melintasi Sungai Langat melalui jalan darat.

Biarpun Pulau Carey terkenal sebagai kawasan penempatan Orang Asli Mah Meri, namun pulau tersebut juga memiliki ‘permata’ tersembunyi buat percutian keluarga.

Terletak bersebelahan Jeti Sungai Langat, Amverton Cove Golf & Island Resort (Amverton Cove) menawarkan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Bagi yang mahukan percutian taman tema air, mereka boleh mengunjungi Riverine Splash yang bertemakan suku kaum Mah Meri.

Taman tema tersebut memiliki dua kawasan yang penuh gelongsor untuk kanak-kanak iaitu di Kiddie Beats dan Aquatots.

Bagi remaja dan dewasa, terdapat tiga jenis gelongsor boleh dinikmati iaitu gelongsor Boa, Anaconda serta Raging Racer. Selain itu, pengunjung disarankan untuk mencuba air terjun Batu Falls, Cave River, Rimba River dan The Breaker – Wave Ball.

Menurut Pengurus Besar Amverton Hospitality, David Yau, kebanyakan pengunjung memilih untuk tinggal di resort kerana mahu mencuba aktiviti lain pada hari seterusnya.

Pengunjung boleh mencuba aktiviti kecergasan dan kecerdasan di Survival Park, Amverton Cove, Pulau Carey, Selangor.

“Kebanyakan pengunjung menghabiskan masa seharian di taman tema basah bagi menikmati keseluruhan permainan yang ada.

“Ini membolehkan mereka memperuntukkan masa untuk menikmati taman tema kering sepenuhnya pada keesokan harinya,” katanya kepada Horizon.

Sementara itu, tarikan pada taman tema kering yang ditawarkan adalah Riverine Survival Park, Adventure Park dan Animal Park.

Riverine Survival Park dibina di tengah-tengah gugusan pokok beringin yang memberikan mood ‘dystopian’.

Terdapat pelbagai aktiviti menguji tahap kecergasan dan kecerdasan disediakan seperti laluan sesat, taman, permainan halangan, rumah pokok dan garis ‘zip flying fox’.

Aktiviti di situ sesuai untuk pelbagai peringkat usia, namun pemantauan orang dewasa diperlukan bagi kanak-kanak.

Untuk pengunjung yang meminati sukan mencabar, mereka boleh mencuba aktiviti di Adventure Park.

Antara aktiviti yang ditawarkan adalah go-kart, kayak, paddle boat, kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), paintball dan abseiling.

Sekiranya mahu bersantai bersama haiwan, pengunjung disarankan melawat Animal Island.

Lawatan hanya boleh dilakukan pada masa tertentu mengikut kesesuaian waktu makan haiwan-haiwan tersebut.

Untuk melihat haiwan itu, pengunjung akan dibawa menyeberang tasik menggunakan jeti bergerak.

Antara haiwan yang terdapat di Animal Island adalah arnab, ayam, kambing, monyet dan ular.

Tambah David, pengunjung boleh pergi ke empat-empat tarikan tersebut dengan menggunakan perkhidmatan kereta bugi hotel.

“Kami menyediakan perkhidmatan bugi di lobi hotel bagi memudahkan pergerakan pengunjung terutama kepada mereka yang memiliki anak kecil.

“Perkhidmatan ini tidak eksklusif kepada penginap hotel sahaja. Pengunjung lain juga boleh menggunakan perkhidmatan ini,” tuturnya.

Selain aktiviti keluarga, Amverton Cove juga menyediakan pakej untuk aktiviti korporat dan team building.

Semua aktiviti bagi kedua-dua pakej tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh pihak resort mengikut kesesuaian pengunjung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI