PETALING JAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Planetarium Negara mengeluarkan satu kenyataan mengenai peluang rakyat Malaysia menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Separa pada akhir bulan ini.
Menerusi kenyataan hantaran di aplikasi X, fenomena Gerhana Bulan Separa itu akan muncul pada Ahad, 29 Oktober 2023.
“Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Separa bermula dari pukul 3.35 pagi sehingga 4.52 pagi apabila bulan terlindung oleh bayang umbra bumi.
“Fenomena ini akan bermula lebih awal iaitu dari pukul 2.01 pagi tetapi mengalami fasa Penumbra sehingga pukul 3.35 pagi (bulan cerah seperti purnama biasa kerana bayang penumbra yang kurang gelap).
“Kemudian, gerhana mencapai tahap maksimum pada pukul 4.14 pagi dan diikuti oleh fasa penumbra semula pada 4.52 pagi (bulan cerah seperti purnama biasa semula),” jelasnya.
Tambah kenyataan itu, fenomena gerhana ini akan tamat sepenuhnya pada pukul 6.26 pagi. – KOSMO! ONLINE