KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, bagaimanapun hak-hak asasi golongan itu seperti diperuntukkan dibawah Perlembagaan Negara tidak boleh dinafikan.
“Pendirian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) konsisten berkaitan isu LGBT dan kerajaan mempunyai pendirian yang jelas berkaitan isu LGBT yang tidak boleh diterima khususnya dalam kalangan masyarakat Islam.
“Dalam konteks yang sama dan apa yang telah disebut Yang Berhormat Tambun (Perdana Menteri) adalah dalam konteks mengiktiraf golongan ini mempunyai hak asasi tertentu dibawah perlembagaan sebagai contoh hak pendidikan dan sebagainya.
“Jadi saya simpulkan apa disebut Yang Berhormat Tambun tidak bermakna menerima LGBT, tetapi dalam konteks hak-hak asasi manusia yang diperuntukkan termasuk dalam perlembagaan itu tidak boleh dinafikan kepada mereka,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) apakah pendirian Jakim terhadap kenyataan Anwar dalam sebuah portal berita antarabangsa yang menyebut hak golongan LGBT tidak wajar diganggu.
Anwar menerusi wawancara dengan Amanpour yang berlangsung di New York disiarkan CNN dipetik berkata, peruntukan undang-undang dan rakyat di negara ini tidak mengira agama mencapai kesepakatan tidak menerima golongan LGBT.
Menurut Anwar lagi, isu berhubung gangguan terhadap golongan itu adalah perkara berbeza dan menyatakan beliau tidak membenarkan sebarang percubaan untuk mengganggu golongan terbabit.
Menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) sama ada terdapat mana-mana perkahwinan sejenis didaftarkan di negara ini selepas Anwar menjadi Perdana Menteri, Mohd. Na’im berkata, perkara itu tidak berlaku.
Menurut beliau, tidak ada satu pun perkahwinan sejenis yang didaftarkan atau berada dalam rekod Jakim mahupun Jabatan Islam negeri kerana undang-undang sedia ada tidak membenarkannya.
“Jelas undang-undang sedia ada tidak mengiktiraf perkahwinan sama jenis, hanya perkahwinan antara lelaki dan wanita, hatta kalau perkahwinan itu dilangsungkan juga dan apabila pihak ini mahu mendaftarkan memang mustahil sebab undang-undang memang tidak membenarkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE