PETALING JAYA – Seorang guru, Mohd. Fadli Mohamed Salleh menegur sikap segelintir ibu bapa yang enggan melepaskan anak-anak mereka mengikuti kelas pendidikan khas kerana malu akan pandangan orang lain.
Mohd. Fadli menerusi hantaran di Facebooknya hari ini berkongsi kisah seorang pelajar tahun tiga yang masih gagal menguasai kesemua subjek di dalam kelas disebabkan mempunyai masalah pembelajaran.
“Hasil kerja murid tahun tiga, murid ini masuk pemulihan sejak darjah satu. Guru mata pelajaran dan guru pemulihan kesan murid ini kemungkinan besar ada masalah pembelajaran disebabkan dia tak boleh fokus, bila bercakap mata pandang tempat lain.
“Selain itu seorang yang sangat pendiam dan tak pernah libatkan diri dalam apa-apa aktiviti pembelajaran dalam kelas serta hasil kerja yang sangat lemah. Walau sekadar minta salin balik apa yang guru tulis, dia gagal.
“Guru pemulihan buat ujian saringan awal untuk kesan sama ada murid ini benar-benar ada masalah pembelajaran,” katanya.
Bercerita lanjut, Mohd. Fadli memberitahu setelah murid berkenaan dikesan mempunyai masalah pembelajaran, guru kelasnya segera memaklumkan perkara tersebut kepada ibu bapanya.
“Hasil ujian awal, memang ternyata murid ni ada masalah pembelajaran. Maka ibu bapa dimaklumkan untuk bawa anak mereka ke hospital dan berjumpa doktor pakar kanak-kanak untuk pengesahan pakar.
“Hanya pengesahan dari doktor pakar kanak-kanak sahaja membolehkan murid ini mendapat kad oku (masalah pembelajaran) seterusnya dimasukkan ke kelas pendidikan khas.
“Tapi sayangnya, ibu bapa tak ambil tindakan. Tak akui dan terus biarkan murid ini berada di aliran perdana,” jelasnya.
Katanya, murid tersebut sehingga kini masih gagal menguasai pembelajaran di dalam kelas dan masih berada dalam ‘dunianya’ sendiri sehingga jauh ketinggalan berbanding rakan-rakannya yang lain.
“Kesannya, murid ini langsung tak boleh ikuti pembelajaran dalam kelas. Dia duduk dalam dunia dia sendiri, tak ada peningkatan dalam belajar, bahkan makin tertinggal lagi.
“Hak dia dinafikan oleh ibu bapa dia sendiri. Tiada apa lagi yang mampu kami sebagai guru nak bantu anak ini,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Fadli sempat berpesan agar ibu bapa cakna dengan keadaan serta prestasi pembelajaran anak-anak dan sekiranya mereka menunjukkan perubahan yang mencurigakan, segera mendapatkan pemeriksaan pakar.
“Ibu bapa yang ada anak-anak autisme, disleksia, diskalkulia, disgraphia, hyper, adhd dan seumpamanya memang sebahagian mereka in denial dan tak terima kenyataan.
“Akhirnya kesan dan akibat, anak mereka yang tanggung,” pesannya. – KOSMO! ONLINE.