KUALA LUMPUR – Kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil pastinya menjadi perhatian utama penyokong Harimau Malaya selepas dipalit isu ketika perlawanan antara Harimau Malaya dan India, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, tinjauan awal dilakukan menunjukkan padang berada dalam keadaan agak baik dan seperti bersedia untuk aksi final Pestabola Merdeka bertemu Tajikistan, 9 malam ini.
Walaupun Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mahu memastikan perlawanan kali ini dapat dilangsungkan tanpa masalah, kualiti padang pastinya jadi ‘tarikan utama’ kepada peminat tempatan.
PSM sebelum ini pihaknya sudah melakukan penilaian teknikal menyeluruh ke atas padang sekaligus membolehkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengekalkan aksi final kali ini dilangsungkan di Bukit Jalil.
“Berikutan perbincangan dan cadangan ini, FAM mengumumkan keputusan mereka untuk meneruskan penganjuran perlawanan akhir di SNBJ.
“Diktiraf sebagai ‘Rumah Harimau Malaya’, PSM berpegang teguh pada komitmennya untuk menyokong dan memastikan kelancaran pelaksanaan persiapan menjelang acara itu berikutan keputusan FAM untuk menggunakan SNBJ,” katanya. – KOSMO! ONLINE