JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal dari Taman Pulai di sini terpaksa memberikan anak-anaknya air suam dan teh kosong bagi menggantikan susu akibat kesempitan hidup.
Siti Nurfarahim Abdullah, 29, berkata, dia kini perlu menanggung tiga anak kecil berusia tiga hingga lima tahun dan hanya bergantung kepada upah RM10 sehari hasil membuat karipap.
Katanya, sebelum ini dia menerima upah RM50 sehari dengan membantu sepupunya berniaga sarapan pagi, namun perniagaan itu tidak bertahan lama dan telah ditutup.
“Selepas sepupu berhenti meniaga, saya kehilangan sumber pendapatan sehingga terpaksa menerima tawaran kerja sambilan melakukan kelim karipap dengan bayaran RM10 sehari.
“Saya tiada pilihan lain kerana perlu tinggal di rumah untuk menjaga tiga anak kecil selepas bercerai dengan suami. Kerja kelim karipap itu saya lakukan pada malam hari.
“Dengan pendapatan itu, saya hanya mampu membeli barang dapur bagi kegunaan harian dan tidak mampu membayar sewa rumah sebanyak RM550 sebulan,” katanya ketika menerima kunjungan daripada wakil Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Mohd. Nasir Ishak dan Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam baru-baru ini.
Tambah Siti Nurfarahim, dia juga terpaksa mengawal perbelanjaan harian termasuk membeli barang basah seperti ikan atau telur dalam kuantiti sedikit bagi mengelak wangnya cepat habis.
“Disebabkan itu saya terpaksa memberi anak minum air suam atau teh kosong kerana tiada wang untuk membeli susu,” katanya sambil memberitahu dua lagi anak yang berusia sembilan dan 11 tahun tinggal bersama bekas suami.
Siti Nurfarahim memberitahu, setakat ini dia terpaksa menangguh perancangan menjalankan perniagaan karipap sejuk beku kerana kediamannya tidak mempunyai kemudahan peti sejuk.
Sementara itu, Mas Imran berkata, pihaknya menyampaikan sumbangan berupa barangan elektrik dan keperluan dapur bernilai RM1,200 kepada keluarga berkenaan.
“Kami harap sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga ini,” ujarnya.
Orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan kepada Siti Nurfarahim boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya iaitu 1099541100275957.