fbpx

Penduduk merana 10 tahun tunggu bekalan air bersih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jailani membawa anak-anaknya mandi di Sungai Sembrong sebagai langkah menjimatkan penggunaan air bersih ketika ditemui di Kluang semalam.

KLUANG – Penduduk Kampung Orang Asli Sedohok terpaksa berjimat-cermat apabila menggunakan air perigi dan sungai untuk mandi selepas bekalan air bersih yang dijanjikan sejak 10 tahun lalu masih belum menampakkan hasil.

Walaupun jarak jalan utama dengan kediaman penduduk di kampung itu adalah 7 kilometer (km), namun kerja-kerja pemasangan paip untuk membekalkan air bersih masih menjadi tanda tanya bila akan dimulakan.

Penduduk kampung, Jailani Rahim, 39, berkata, mereka menerima bekalan air bersih yang dihantar syarikat Ranhill SAJ sebanyak tiga kali seminggu.

“Kami terpaksa berjimat menggunakan air bersih tersebut untuk keperluan seperti memasak kerana bimbang kehabisan sementara menunggu giliran (penghantaran air) yang sete­rusnya.

“Sebagai penduduk, kami tidak tahu di mana silapnya kerana pemasangan yang hanya memerlukan masa beberapa bulan itu kini sepi.

“Difahamkan, projek yang diusahakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kahang, R.Vidyananthan ini sudah diluluskan sebelum 2018 lagi.

“Namun kerja-kerja pemasa­ngan paip utama yang menjadi masalah sehingga membawa projek ini tergendala,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Jailani, ketika ini, kira-kira 220 penduduk kampung tersebut memilih sungai dan peri­gi sebagai alternatif tambahan bekalan air untuk mandi serta mencuci pakaian.

Jelasnya, penduduk berasa amat kecewa dengan keadaan ini kerana hasrat untuk mendapatkan bekalan air secara tetap masih belum kesampaian. Sumber air bawah tanah menggunakan te­laga tiub juga tidak boleh digunakan lagi.

“Kami sangat berharap masalah ini dapat diselesaikan segera bagi membolehkan penduduk mendapatkan kemudahan sewajarnya seperti orang lain,” kata lelaki itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI