fbpx

Hampir putus tunang angkara judi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUNJUNGAN Ayie (bukan nama sebenar) ke kedai mesin judi pada mulanya sekadar mahu menemani rakannya yang merupakan seorang kaki judi tegar.

Tanpa disangka Ayie, akibat pengaruh rakannya itu yang mengajaknya ke tempat tersebut telah menyebabkan dia terjebak sama dengan permainan berkenaan.

“Pada mulanya saya bersetuju hanya untuk menemani rakan ke kedai mesin judi. Sekurang-kurangnya dapat juga saya melihat bagaimana permainan itu dimainkan.

“Namun timbul keinginan dalam diri saya untuk berjudi setelah rakan saya itu memberitahu ada kalanya dia menang besar berjudi di situ,” katanya yang berasal dari sebuah negeri di utara tanah air kepada K2.

Rakannya itu telah mengajarnya cara untuk bermain mesin judi.

Pada kunjungan kali keduanya ke kedai mesin judi, Ayie sudah mula bertaruh biarpun dengan nilai yang kecil untuk sekadar mencuba.

Walaupun baru pertama kali mencuba, dia telah berjaya menang. Namun jumlah yang dimenanginya tidaklah banyak kerana wang yang dipertaruhkannya kecil.
Sejak itu Ayie semakin kerap mengunjungi kedai tersebut untuk berjudi.

“Rasa ketagihan untuk mengunjungi tempat itu mula menguasai diri. Ada masanya saya akan pergi berseorangan ke situ untuk bermain judi.

“Apa yang membuat saya semakin giat bermain adalah kerana pernah memenangi ribuan ringgit.
Keadaan itu menyebabkan saya semakin ketagih mengunjungi kedai mesin judi,” jelasnya yang mengimbau kembali tabiat buruk yang dilakukannya pada lima tahun lalu.

Jika dihitung wang yang dikeluarkannya untuk berjudi adalah lebih banyak daripada yang dimenanginya.

Ada satu ketika, Ayie pernah menghabiskan wang sebanyak RM1,000 hanya dalam satu malam untuk berjudi.

Setelah terjebak dengan ketagihan berjudi, Ayie sering dihimpit masalah kewangan.

Dia yang hanya bekerja sebagai pembantu rendah am di sebuah syarikat swasta sering menghabiskan wang gajinya untuk permainan tersebut.

“Kebiasaannya, hari pertama dapat gaji, malam itu juga saya akan pergi ke kedai mesin judi untuk berjudi.

 

TUNANG Ayie meminta untuk memutuskan pertunangan sekiranya Ayie tidak menghentikan tabiat buruknya.–GAMBAR HIASAN

 

“Adakalanya menang dan adakalanya tidak menang. Tapi saya mengakui sepanjang bermain judi, saya sering berhadapan masalah kewangan,” tegasnya.

Tambahnya, keluarganya di kampung sering menjadi mangsanya untuk meminjam wang.
Pernah satu ketika Ayie tergamak menipu bapanya dengan mengatakan dia memerlukan wang untuk membaiki keretanya yang rosak. Sebaik mendapat wang daripada bapanya dia pergi berjudi.

Apa yang lebih malang lagi, Ayie menegaskan dia juga telah menghabiskan wang yang dikumpulnya untuk berkahwin dengan tunangnya semata-mata untuk berjudi.

“Saya juga sering meminjam wang dengan tunang saya pada waktu itu. Saya terus berjudi dengan harapan dapat menang sekali gus kembali mengumpul wang untuk berkahwin.

“Akhirnya tunang saya dapat menghidu perkara buruk yang saya lakukan ini kerana sering sangat meminjam wang daripadanya. Dia meminta untuk kami memutuskan pertunangan sekiranya saya masih terlibat dengan permainan judi,” tuturnya.

Pada mulanya sukar untuk Ayie meninggalkan tabiat itu tapi dia cuba untuk kurangkan bermain mesin judi secara perlahan-lahan.

Tegasnya, dia juga berjanji dengan tunangnya itu untuk meninggalkan tabiat buruk itu. Hampir tiga bulan masa yang diambilnya untuk meninggalkan tabiat buruknya itu yang turut diakuinya sebagai suatu yang salah di sisi agama dan undang-undang.

“Apa yang membuat saya terkesan dan terus meninggalkan tabiat itu adalah setelah melihat kesanggupan tunang saya meminjamkan separuh daripada wang hantaran yang harus saya berikan kepadanya untuk berkahwin,” katanya.

Ayie menyedari terlibat dengan permainan mesin judi adalah satu perkara yang sia-sia. Lebih-lebih lagi, wang yang telah dihabiskan jauh lebih besar berbanding wang yang dimenanginya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI