MELAKA – Pengeksportan cip perintang keluaran pembuat cip mikro terkemuka, Koa Denko (Malaysia) Sdn. Bhd. (Koa Denko) dijangka meningkat kepada 240 bilion keping setahun menjelang 2028 berbanding 60 bilion keping ketika ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, sasaran itu dapat dicapai selepas pembinaan kilang baharu Koa Denko di Taman Eco Ayer Keroh di sini siap pada suku pertama 2025 dengan nilai pelaburan sebanyak RM1 bilion.
Kata beliau, kilang berkeluasan 83,718 meter persegi itu akan menjadi kemudahan pengeluaran Koa Denko terbesar di dunia.
“Cip dihasilkan digunakan dalam automotif, telekomunikasi dan peralatan industri, ia diedarkan kepada pengilang seperti Continental, Bosch, Aptiv, Sony, Huawei dan lain-lain.
“Kapasiti pengeluaran dijangka meningkat kepada 8.2 bilion cip perintang sebulan dalam tempoh empat tahun akan datang dan eksport pula meningkat kepada 240 bilion keping cip setahun menjelang 2028 berbanding 60 bilion keping cip setahun ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Kilang Baharu Koa Denko di sini, hari ini.
Tambah Ab. Rauf, kilang baharu itu menawarkan sebanyak 950 peluang pekerjaan dan meningkat kepada 1,820 peluang pekerjaan menjelang 2028. – KOSMO! ONLINE