fbpx

Enam individu dipanggil bantu siasatan kematian Qaseh Aulia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Qaseh Aulia Faizul berusia dua bulan dipercayai mengalami kesukaran bernafas setelah dibiarkan meniarap tanpa pengawasan selama sejam.

PETALING JAYA – Seramai enam individu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi perempuan berusia dua bulan di sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya kini masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian bayi itu.

“Setakat ini enam saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Kita masih menunggu laporan bedah siasat (daripada pihak hospital),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pengasuh wanita ditahan polis bagi membantu siasatan kematian seorang bayi perempuan berusia dua bulan di sebuah taska di Kota Damansara, di sini, Selasa lalu.

Mohamad Fakhrudin dilaporkan berkata, wanita warga asing berusia 40-an ditahan yang berkahwin dengan warga tempatan itu dibebaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu, ibu bayi perempuan tersebut menerusi sebuah video di Instagramnya @asharosli mendedahkan berkenaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) keadaan anaknya sebelum didapati meninggal dunia dipercayai kecuaian pengasuh.

Dakwanya, kejadian malang itu terjadi pada hari kedua puteri keduanya, Qaseh Aulia yang berusia dua bulan, dihantar ke sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara, di sini, 10 September lalu

Dia mendakwa, anak perempuannya itu tidak sedarkan diri dipercayai berpunca kesukaran bernafas kerana dibiarkan dalam keadaan meniarap tanpa pengawasan selama sejam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI