LONDON – Legenda Arsenal, Paul Merson menggesa pasukan itu tidak mengambil mudah terhadap cabaran Chelsea menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge hujung minggu ini.
Perlawanan derbi London itu dianggap menarik berdasarkan prestasi semasa The Gunners selain Chelsea yang mula melakukan kebangkitan selepas bermula dengan agak goyah pada saingan musim ini.
Justeru, Merson memberi amaran kepada pemain-pemain Arsenal supaya berwaspada dengan ancaman yang mampu diberikan Chelsea, terutamanya gerakan-gerakan yang dilakukan pemain sayap, Raheem Sterling.
“Arsenal akan bertemu Chelsea pada minggu ini dan ia adalah sesuatu yang menarik. Walaupun mereka bermula agak hambar musim ini tetapi mereka masih mampu memberi saingan kepada Liverpool sebelum ini.
“Walaupun tidak berada di kedudukan yang dimahukan, namun bila tiba masanya, Chelsea memang sukar dikalahkan. Sekiranya Sterling bermain sama seperti ketika bertemu Burnley, sukar untuk Arsenal menyekatnya,” kata beliau.
Semangat pemain-pemain Arsenal pastinya masih membara selepas mereka menewaskan Manchester City 1-0 dua minggu lalu manakala Chelsea bangkit membelasah Burnley 4-1 dalam aksi liga terdahulu.
“Selepas sekian lama tidak menang ke atas City, saya fikir keputusan sebelum ini memberi lebih kepercayaan kepada pemain-pemain Arsenal bahawa mereka berpeluang merangkul kejuaraan liga musim ini,” ujar Merson. – AGENSI