fbpx

Bekalan beras: KPDN periksa 31,100 premis sepanjang Ops Jamin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fuziah (tengah) dalam sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan Ops Jamin di sebuah pasar raya, di Cheras hari ini. - Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

CHERAS – Sebanyak 31,100 premis telah periksa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di seluruh negara sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Jamin sehingga semalam.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, pemeriksaan tersebut melibatkan pelbagai peringkat rantaian pengedaran termasuklah di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.

Ujarnya, bagi memastikan bekalan beras dijual pada harga stabil dan terkawal, Ops Jamin telah dilancarkan sejak 7 Julai lalu bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat.

“Seperti hari ini kita turun sendiri melihat keadaan bekalan dan harga beras, gula, minyak masak dan sebagainya. Sebelum ini seperti kita maklum, negara berhadapan dengan masalah bekalan beras.

“Dalam masa yang sama, KPDN membuat jualan Rahmah beras iaitu kita jual beras import dengan harga Rahmah lebih kurang dengan harga beras tempatan. Kalau kata tiada beras, kita akan bantu sampaikan kepada KPKM.

“Tapi kalau terima aduan beras tempatan ditampal label beras import, kita akan siasat bawah Akta Perihal Dagangan. Ada beberapa siasatan yang sudah dimulakan dimana beberapa laporan sudah saya terima,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan Ops Jamin di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.

Menurut beliau, daripada 31,100 premis yang diperiksa, sebanyak empat kes diambil tindakan ke atas peniaga kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999.

“Empat kes lain pula melibatkan Akta Perihal Dagangan 2011 dan dua kes melibatkan Akta Timbang dan Sukat 1972 menjadikan 10 kes secara keseluruhannya telah diambil tindakan oleh KPDN.

“Sebanyak 331 aduan melibatkan aduan harga, bekalan dan lain-lain berkaitan beras diterima dalam tempoh yang sama dan telah disalurkan kepada KPKM untuk tindakan lanjut,” katanya.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI