KUALA SELANGOR – Sebuah pusat pelupusan sisa menjadi tenaga (WTE) terbesar dalam negara di Jeram di sini, akan beroperasi selewat-lewatnya pada 2026.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pusat tersebut akan memproses 3,000 tan sampah sehari yang diterima daripada enam pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor.
Katanya, ia sekali gus akan mengurangkan bebanan dalam pembukaan tapak pelupusan sampah yang baharu.
“WTE adalah satu transisi dalam pengurusan sampah dengan teknologi terkini yang paling selamat dan sesuai untuk pengurusan sampah seperti Selangor yang majoritinya adalah bandar.
“Ia akan menghasilkan bekalan elektrik sebanyak 52 Megawatt (MW) per jam yang akan dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pecah tanah WTE tersebut, hari ini.
Projek WTE tersebut akan dilaksanakan Worldwide Holdings Berhad (WHB) dengan kerjasama Shanghai Electric Power Generation (M) Sdn Bhd.
Jumlah bekalan elektrik per jam itu difahamkan mampu dibekalkan kepada 52,000 rumah.
Kata Amirudin, WTE seluas 12.1 hektar tersebut mampu mengurangkan sehingga 80 peratus penggunaan tapak pelupusan sedia ada.
Ujarnya, dua tapak pelupusan sedia ada di Jeram dan Tanjung Dua Belas, Kuala Langat ketika ini hanya bertahan dalam tempoh tiga tahun sahaja. – KOSMO! ONLINE