KANOWIT – Lelaki warga emas yang hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Kanowit, Nanga Lesih di sini ditemukan pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mayat mangsa berusia 92 tahun itu dijumpai dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga hari ini, kira-kira pukul 8.50 pagi.
“Mayat mangsa dijumpai oleh pasukan SAR pada jarak 300 meter dari Pos Kawalan Bomba dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa dilaporkan hilang pada pukul 6.35 petang Ahad lalu selepas terjatuh dari perahu di Sungai Kanowit.
Menurut saksi, mangsa dipercayai terjatuh dari perahu ketika dalam perjalanan ke Rumah Panjang Jelani, Bukong Jagoi di sini selepas balik dari kebunnya yang terletak di seberang sungai berkenaan.
Susulan itu, operasi SAR digerakkan melibatkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama-sama penduduk kampung. – KOSMO! ONLINE