PETALING JAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan mahu membuang gambaran pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah penguat kuasa yang menghalang dan menyulitkan rakyat.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau mahu memupuk budaya pengurusan dan pentadbiran bandar dalam suasana yang prihatin.
“Kita kena pupuk budaya masyarakat khususnya orang muda jangan berasa takut dengan kerajaan atau pihak berkuasa.
“Saya mahukan suasana cakna pengurusan, pentadbiran kerajaan dengan rakyat. Jika rakyat mahukan sesuatu kita cari jalan untuk diperbolehkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat penjaja orang kurang upaya (OKU) di ibu negara hari ini.
Beliau sebelum ini mengumumkan Wilayah Persekutuan sebagai Wilayah Bebas Berniaga selama enam bulan bermula 15 November 2020 hingga 15 April 2021.
Langkah itu diambil bagi membantu meringankan bebanan penduduk khususnya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Dalam tempoh itu, peniaga bagaimanapun perlu memohon Lesen Perniagaan Sementara daripada PBT.
Annuar berkata, beliau percaya rakyat tidak akan menyalahgunakan kemudahan berniaga yang diberikan dengan sentiasa menjaga kebersihan dan prosedur operasi standard. – K! ONLINE