KUALA NERUS – Seorang wanita yang dalam perjalanan mengambil anak dari kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) maut dalam kemalangan di Jalan Bandar Baru di sini semalam.
Dalam kemalangan pada pukul 4 petang itu, mangsa, Nor Faizuamee Zulkifli, 37, meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supritenden Wan Mohd. Zaki Wan Ismail berkata, sewaktu kejadian, Nor Faizuamee dikatakan dalam perjalanan mahu mengambil anaknya berusia sembilan tahun dari kelas Kafa di sebuah sekolah berhampiran dari rumahnya di Kampung Bukit Berangan, Tepoh di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian berhampiran Bulatan Bandar Baru Kuala Nerus di sini, motosikal jenis Honda Beat dinaiki mangsa dikatakan telah menukar laluan dari lorong kiri ke kanan.
“Sebuah kenderaan Perodua Alza dipandu seorang wanita di belakangnya gagal mengelak lalu merempuh belakang motosikal mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Wan Mohd. Zaki berkata, impak kemalangan itu menyebabkan Nor Faizuamee tercampak dari motosikalnya.
Beliau berkata, mayat wanita itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE