ALOR SETAR – Kalangan pesawah di negeri ini merungut berikutan sukar mendapatkan benih padi sah pada harga berpatutan ketika jadual penanaman padi di sesetengah kawasan sepatutnya bermula hujung bulan lalu.
Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Che Ani Mat Zain berkata, rata-rata pesawah ‘pening’ setelah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang menjadi lokasi mendapatkan benih pada harga berpatutan juga tidak memiliki bekalan seperti diharapkan.
Katanya, kebanyakan PPK memaklumkan bahawa kilang-kilang yang dibenarkan membekal benih padi memberi alasan kononnya benih padi yang disediakan untuk penanaman musim ini masih belum diluluskan Jabatan Pertanian.
“Namun yang menghairankan, benih-benih itu ada pula dijual di ‘pasaran gelap’. Harganya cukup mahal iaitu lebih RM50 sekampit berbanding harga RM35 di pintu kilang seperti ditetapkan kerajaan.
“Langkah ini sudah tentu memberi tekanan kepada pesawah, apatah lagi kalau mengikut jadual dikeluarkan MADA, mereka sepatutnya melaksanakan kerja-kerja menabur benih hujung bulan lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ujarnya, pihak yang menjualnya pula dilihat bertindak secara licik apabila mereka tidak mengeluarkan sebarang resit bagi proses pembelian.
“Kita minta pihak Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya mengambil tindakan. Kita tak mahu pesawah dipermainkan dengan cara begini,” katanya.
Sementara itu, Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, apa yang berlaku menunjukkan seolah-olah kilang yang mengedar benih padi itu lebih utamakan pihak tertentu yang menjadi rangkaian mereka, sebelum menghantar bekalan ke PPK.
“Saya dimaklumkan ada petani yang duduk di Kota Kuala Muda terpaksa ‘mencari-cari’ benih di sebelah Kedah utara. Itu pun mereka terpaksa beli dengan harga mahal,” katanya.