SERDANG – Sebuah kereta jenis Tesla yang diparkir di tepi jalan dilaporkan terbakar secara tiba-tiba di Jalan Puchong Jaya, di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran tersebut pada pukul 8.32 malam.
Katanya, seramai tujuh anggota dan dua jentera keluaran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, bomba terdapat sebuah kereta jenis Tesla yang terbakar sebanyak 70 peratus, namun tidak melibatkan mangsa.
“Tindakan anggota dengan menggunakan satu aliran salur bantu mula air dari pam air tangki jentera api berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Mukhlis, kes itu diserahkan kepada pihak forensik untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE