fbpx

Dituduh tiada fungsi, Syahir turuti Shila Amzah, tinggal dengan ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAHIR menurut kata kakaknya, Shila Amzah agar tidak masuk campur dalam masalah yang berlaku dalam keluarga ketika ini.

SHAH ALAM – Didakwa tidak berfungsi, adik kepada penyanyi Shila Amzah, Amir Syahir lebih selesa mengambil sikap berkecuali ketika keluarga dilanda krisis agar tidak memburukkan lagi keadaan.

Katanya, komunikasi bersama ibu, abang dan adik bongsu mereka berlangsung seperti biasa, malah dia juga masih tinggal sebumbung di banglo milik kakak sulungnya di Hulu Langat, Selangor.

“Semua yang jadi sekarang lebih kepada masalah kakak sulung dengan mereka tapi hubungan saya dengan ahli keluarga lain, termasuk emak masih macam biasa.

“Saya berpegang kepada prinsip, keluarga tetap keluarga dan kalau saya komen pun isu ini tidak akan ke mana. Kakak pun minta saya elak daripada masuk campur.

“Kami masih tinggal serumah, cuma menuju ke hujung minggu saya akan ada di rumah Shila sebab mahu fokus kepada persediaan Famili Duo,” katanya kepada Kosmo! Online usai konsert minggu pertama FD3 di Studio NTV7, malam kelmarin.

Syahir, 28, yang bergandingan dengan Shila dalam pertandingan membabitkan peserta dengan pertalian kekeluargaan tersebut mengakui turut menyedari namanya disebut dalam video siaran langsung abangnya, Amir Syafiq.

Begitupun, dedah anak ketiga daripada empat bersaudara itu, hingga kini tidak menonton video yang diperkatakan berikutan kesibukan dengan persediaan minggu pembukaan FD3.

“Kakak banyak bagi saya ‘homework’ untuk buat persiapan persembahan sampai saya tak sempat tengok rakaman video siaran langsung itu.

“Tapi selepas kecoh, saya lebih banyak berkomunikasi dengan Syada saja manakala yang lain saya tak bercakap sangat. Lagipun
banyak masa bersama Shila berbanding di rumah,” ujarnya.

Mengulas ketiadaan ahli keluarga terdekat pada kemunculan pertamanya dalam sebuah program televisyen, Syahir menjelaskan sudah mempelawa semua ahli keluarga hadir memeriahkan suasana.

“Memang kami jemput tapi tiada jawapan sampai hari kejadian jadi biarkan sajalah. Nak kata famili tak muncul boleh jejaskan tumpuan atas pentas, rasanya tiada.

“Ini kerana mereka yang datang termasuk kawan serta peminat Kak Sha (Shila) pada malam ini adalah penyokong sebenar dan telah buatkan saya teruja serta bersemangat,” tambahnya.

Menerusi persembahan lagu Menggegar Dunia nyanyian asal Adam dan Stacy, Syahir dan Shila berada di tempat kedua dengan markah sebanyak 49.1 peratus mengekor rapat dibelakang juara, Syaiful bersama Sharif Zero yang meraih 55.5 peratus.

Biarpun berhadapan masalah teknikal mikrofon tidak berfungsi selama 10 saat akibat gangguan frekuensi, Syahir tetap mendapat pujian juri, Mas Idayu serta Ajai berikutan ketenangannya menangani isu tersebut dengan profesional.

Sejak beberapa hari lalu, platform media sosial kecoh dengan sesi berbalas kenyataan anak-anak Datuk ND Lala berpunca daripada isu penjualan rumah banglo tujuh bilik milik Shila Amzah.

Dalam kecamuk yang masih tiada penyelesaian, Shila dan Syahir tetap fokus demi meneruskan persaingan dalam menerusi program FD3. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI