SINGAPURA – Seorang ahli perniagaan dari Singapura berikrar untuk mewariskan harta kekayaannya yang berjumlah SG$20 juta (RM69 juta) kepada 10 pertubuhan amal selepas dia meninggal dunia, lapor laman berita AsiaOne.
Loh Kiong Poot, 79, yang kini sudah bersara berkata, dia telah menulis wasiat itu ketika berumur dalam lingkungan 50-an. Jumlah itu kini dilaburkan dalam bon tetapi telah ditetapkan terlebih dahulu kepada 10 penerima.
Menurut jutawan tersebut, dia membuat keputusan itu kerana percaya tiga anaknya mempunyai aset yang mencukupi untuk hidup berdikari.
“Namun, sudah pasti saya akan turut meninggalkan sejumlah harta kepada mereka dan isteri saya,” katanya.
Media tempatan sebelum ini melaporkan bahawa Kiong Poot sering menderma kepada badan-badan kebajikan sejak tahun 1990-an.
Pada 2022 sahaja, ahli perniagaan itu telah menyumbang sebanyak SG$3 juta (RM10 juta) kepada enam pertubuhan amal.
“Jika anda mempunyai duit lebih, kenapa anda perlu menyimpannya? Sekiranya anda mampu memberi sumbangan dan membantu orang lain, lebih baik anda melakukannya. Itu prinsip saya,” katanya.
Menurut akhbar The Straits Times, Kiong Poot ialah ahli perniagaan yang membangunkan sendiri perniagaannya dalam industri perdagangan pada 1974 dan bersara ketika usia 47 tahun.
Mereka yang mengenali lelaki itu menyifatkan Kiong Poot sebagai seorang yang sederhana, berjimat cermat dan menaiki penerbangan kelas ekonomi serta menjalani gaya hidup berprofil rendah.
Dia dikatakan menggunakan wang simpanan hariannya untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik. – AGENSI