PETALING JAYA – Rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron meluahkan dirinya kini tidak mampu untuk tersenyum kerana keadaan di kawasan tempat tinggalnya di Khan Younis, Semenanjung Gaza semakin genting.
“Assalamualaikum semua, ramai yang tanya khabar tak boleh nak jawab satu-satu. Keadaan sekarang teruk seteruk-teruknya. Dah tak boleh nak senyum, minta maaf sangat-sangat.
“Memang genting sangat-sangat, dah masuk lapan hari tak ada elektrik, tak ada air, ramai dah lari dari rumah mereka. Kali ini luar biasa,” luahnya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Sementara itu, suaminya, Mohamed Adan Shaat memberitahu setakat lapan hari Gaza diserang Israel, lebih 2,750 orang telah mati syahid.
“Sampai sekarang lebih 2,750 orang mati syahid dalam masa lapan hari, masa 2014, dalam masa 51 hari tak sampai 2,000 angka orang mati syahid.
“Ramai sangat yang beratur nak dapat bantuan, dapat air, dapat duit, nak ungkap dengan kata-kata untuk sekarang sudah tidak boleh, tidak tergambar sudah keadaan di sini (Semenanjung Gaza),” kongsinya.
Terdahulu, Nurul Ain turut bekongsi keadaan penduduk yang tidak ada rumah atau kediaman mereka musnah akibat dibom sehingga terpaksa menumpang mana-mana binaan kosong yang ada.
Nurul Ain merayu sokongan orang ramai untuk terus menghantar bantuan dan mendoakan keselamatan semua penduduk di Gaza.- KOSMO! ONLINE