KELEBIHAN beraksi di laman sendiri menjadikan Harimau Malaya tiada sebarang alasan untuk tidak menghadirkan trofi sulung buat Kim Pan-gon sejak mula dilantik Januari tahun lalu.
Ketika Pestabola Merdeka kali ini dipalit isu padang, tonggak pertahanan negara, Dion Cools enggan menjadikan faktor itu sebagai halangan untuk tidak beraksi baik.
“Kami cuba dapatkan gambaran di mana lagi yang kami perlu perbetulkan sama ada dari aspek sistem permainan atau taktikal. Tetapi perkara yang bagus adalah tiada pemain cedera dan paling penting semuanya cergas untuk beraksi.
“Peluang yang baik untuk memenangi perlawanan ini dan kami perlu bersedia untuk berdepan apa juga senario,” katanya.
Seiring dengan status penganjuran Pestabola Merdeka yang dilabel sebagai salah satu pertandingan berprestij di Asia, kejuaraan ini pastinya akan melengkapkan resume Pan-gon selepas jurulatih itu menghadirkan cerita penuh warna-warni kepada bola sepak Malaysia termasuk layak secara merit ke Piala Asia buat kali pertama dalam tempoh 42 tahun.
“Cara bermain bersama skuad kebangsaan adalah berbeza dengan liga, jadi kami kena sesuaikan diri dengan sesuatu yang baharu.
“Kami cuba jadi pasukan yang lebih baik kerana cabarannya pasti akan lebih mencabar. Kami masih lagi dalam proses untuk jadi lebih baik dan maju ke depan,” kata Cools.