PENYANYI paling muda dalam BTS, Jungkook mencatat rekod peribadi dalam kariernya apabila kini bergelar pengarah untuk video muzik lagu terbaharu kumpulan itu, Life Goes On.
Iklan promosi awal video muzik berkenaan dilancarkan menerusi YouTube pada 17 November lalu dengan menayangkan dua babak memaparkan kesemua anggota BTS duduk menonton televisyen dan memanaskan badan di depan unggun api.
Life Goes On merupakan trek pertama dalam album BE yang dilancarkan 20 November lalu.
Selepas iklan promosi dikeluarkan, perhatian peminat tertancap pada bahagian kredit yang memaparkan nama Jungkook sebagai pengarah.
Maklumat tersebut sekali gus membuatkan peminat terutama ARMY berbangga kerana penyanyi itu akhirnya bergelar pengarah.
Kurang sejam, nama Jungkook sohor kini dalam Twitter dengan tanda pagar #LifeGoesOn dan kata kunci Director JK.