fbpx

Insiden ‘mic’ Shila Amzah bukan disengajakan – Penerbit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penerbit Famili Duo musim ketiga (FD3), Muhammad Sufian Che Isa menafikan tuduhan masalah mikrofon dihadapi Shila dan adiknya malam tadi disengajakan.

SHAH ALAM – Produksi program Famili Duo musim ketiga (FD3) memohon maaf kepada pasangan adik beradik, Shila Amzah dan Amir Syahir susulan insiden mikrofon tidak berfungsi ketika giliran persembahan mereka malam tadi.

Penerbit eksekutifnya, Muhammad Sufian Che Isa berkata, masalah teknikal yang berlaku dalam tempoh 10 saat itu turut menjejaskan mikrofon hos dan penyanyi latar.

“Daripada pihak produksi, kami memohon maaf atas kesulitan ketika tiba persembahan Shila dan adiknya yang memang bukan disengajakan.

“Isyarat frekuensi mikrofon tiba-tiba hilang menyebabkan bukan saja mikrofon mereka berdua bermasalah, bahkan mikrofon ‘back up’ juga tidak dapat berfungsi.

“Mujur 10 saat saja, tapi masalah tidak dijangka ini boleh terjadi dalam mana-mana persembahan,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media usai persembahan minggu pertama.

Menurut Sufian, pihaknya masih menanti keputusan pemeriksaan peralatan dan sistem yang menjejaskan frekuensi isyarat mikrofon.

“Saya belum dapat keputusan yang penuh lagi kerana sebelum program semuanya sempurna sehinggalah siaran langsung hampir di penghujung,” katanya.

Begitupun, produser terbabit melihat insiden tersebut sebagai menyuntik pengalaman serta ilmu kepada peserta mengawal situasi andai berlaku insiden serupa.

Sementara itu, Shila pula tidak menganggap kejadian berkenaan sebagai pematah semangat, sebaliknya berbangga adiknya meraih pujian Mas Idayu dan Ajai selaku juri kerana tampil tenang serta profesional.

“Bukan kecewa tetapi lebih kepada tak dapat kepuasan kerana kalau masalah teknikal tak berlaku, mungkin kami boleh beri lebih lagi.

“Macam juga kehidupan ada masalahnya, jadi kita teruskan sahaja, apa lagi yang boleh dibuat.

“Benda ini pun kita tak jangka. Masa latihan beberapa hari sebelum ini semuanya berjalan lancar,” ulasnya.

Walau aksi terganggu, duo yang membawakan lagu Menggegar Dunia nyanyian asal Adam dan Stacy itu muncul di tempat kedua dengan markah sebanyak 49.1 peratus berada di belakang juara mingguan, Sharif dan Syaiful Zero yang meraih 55.4 peratus.

Pensohor media sosial, Ryan dan Adam Bakery pula di tangga ketiga bersama 42.2 peratus disusuli Tom dan Fuad (41.3), Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (37.8) serta Adira dan Emma Suhaimi (36.2).

Persaingan FD3 yang menyaksikan Janna Nick dan Izzue Islam sebagai pengacara bakal berlangsung selama lapan minggu pada setiap Ahad dan disiarkan secara langsung di TV3. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI