BANDAR GAZA – Berpuluh-puluh penduduk Palestin beratur panjang di hadapan bilik mandi dengan kebanyakan mereka tidak dapat membersihkan diri berhari-hari selepas Israel memotong bekalan air, elektrik dan makanan.
Salah seorang daripada mereka ialah Ahmed Hamid, 43, yang melarikan diri ke Rafah di selatan Semenanjung Gaza bersama isteri dan tujuh anaknya selepas Israel mengarahkan penduduk di utara berpindah atas faktor keselamatan.
“Kami tidak mandi selama beberapa hari. Mahu pergi ke tandas pun perlu beratur panjang.
“Kami juga tidak mempunyai makanan. Semua barang keperluan juga tiada dan sekiranya ada sekali pun, harganya melonjak. Satu-satunya makanan yang ada ialah ikan tuna dalam tin dan keju.
“Saya berasa diri ini tidak berguna kerana tidak mampu melakukan apa-apa,” kata Ahmed.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin menganggarkan lebih sejuta orang hilang tempat tinggal sejak Rejim Zionis melancarkan serangan udara ke atas Gaza selepas Hamas membedil beribu-ribu roket ke Israel.
Setakat ini, lebih 1,400 orang terbunuh di Israel, manakala di Gaza pula, sekurang-kurangnya 2,670 penduduk terkorban akibat pengeboman tanpa henti dengan kebanyakan mangsa ialah orang awam Palestin.
Israel juga memotong bekalan air, elektrik dan makanan di kawasan yang padat dengan penduduk itu, namun menyambung semula bekalan air kelmarin tetapi hanya di selatan Semenanjung Gaza.
Seorang lagi penduduk, Mona Abdel Hamid, 55, memberitahu bahawa dia meninggalkan rumahnya di Bandar Gaza dan menuju ke rumah saudaranya di Rafah.
Namun, dia terpaksa menumpang di rumah penduduk yang tidak dikenali.
“Saya berasa amat malu dan terhina. Saya mencari tempat perlindungan. Kami tidak mempunyai banyak pakaian dan kebanyakannya telah kotor kerana tidak mempunyai air untuk membasuh,” ujarnya.
Dalam pada itu, di sebuah rumah di bandar Khan Yunis iaitu berdekatan sekolah yang dikendalikan agensi pelarian Palestin untuk PBB, seorang penduduk setempat dikenali sebagai Esam berkata, dia menerima tetamu yang hilang tempat tinggal dari Bandar Gaza seperti kawasan kejiranan Al-Rimal dan Tal
al Hawa.
“Namun, air menjadi masalah utama. Setiap hari kami perlu berfikir bagaimana kami boleh mendapatkan bekalan air. Jika kami mandi, kami tidak boleh minum,” katanya yang enggan memberikan nama penuh.
Meskipun mengeluarkan arahan pemindahan, askar Israel terus melancarkan serangan udara di selatan Gaza termasuk Rafah.
“Saya melihat kemusnahan di sekeliling saya dan bertanya ‘tiada aktiviti pengganas di sini’. Di mana kemanusiaan yang mereka laungkan?” kata penduduk Rafah, Alaa al-Hams.
Samira Kassab yang berdiri di hadapan runtuhan rumahnya pula berkata: “Ke mana kami harus pergi? Di mana negara-negara Arab? Kami hidup sebagai pelarian, rumah kami musnah semuanya. Kami terpaksa tidur di jalanan dan tiada apa lagi yang tinggal.”
Tambah Samira, anak perempuannya menghidap kanser, namun dia tidak dapat membawanya ke hospital.
“Saya tidak akan pergi dari sini walau apa pun terjadi, meskipun saya mati. Kami terpaksa meminta roti daripada jiran-jiran, namun kami tidak akan berganjak,” ujarnya. – AFP