fbpx

K2

Peserta ratu cantik dekati kanak-kanak disleksia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Para peserta MMG bermesra dengan kanak-kanak disleksia di Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Disleksia atau masalah perkembangan pembacaan ialah gejala yang berkait kesukaran belajar membaca dengan lancar dan kefahaman tepat sungguhpun memiliki kecerdasan yang normal atau melebihi purata.

Individu disleksia lazimnya pintar dan boleh menjalani kehidupan secara normal, namun menghadapi sedikit kekeliruan dan kesukaran untuk mengeja atau menterjemah sesuatu perkataan yang dilihat dengan betul.

Justeru, bagi mendekati dan memahami golongan ini, sebuah organisasi pertandingan ratu cantik mengambil inisiatif membawa kesemua pesertanya untuk mengunjungi sebuah pusat pembelajaran disleksia di ibu kota.

Mrs Malaysia Globe (MMG) merupakan pertandingan ratu cantik untuk mereka yang sudah berkahwin bertujuan meraikan kekuatan wanita.

Diasaskan sejak 13 tahun lalu, organisasi itu tahun ini diterajui oleh Pengarah Kebangsaan MMG yang baharu, Hyacinth Ho yang juga merupakan pemenang MMG 2018/2019.

Menariknya, aktiviti tahun ini sedikit berbeza apabila kesemua 18 ratu yang bertanding melawat dan melakukan aktiviti menarik bersama kanak-kanak disleksia di pusat pembelajaran Dyslexia Genius Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Sukhbir

Salah seorang peserta, Sukhbir Kaur, 50, menyifatkan program tersebut suatu yang menarik kerana menerusinya, dia dan peserta lain mampu lebih memahami cabaran yang dihadapi penghidap disleksia.

“Mereka ini lazimnya merupakan pelajar yang pintar, namun disebabkan disleksia, proses pembelajaran mereka sedikit perlahan kerana apa yang mereka lihat dengan apa yang diterjemah biasanya berbeza,” katanya.

Seorang lagi peserta iaitu Erin Tan, 38, yang juga merupakan seorang penghidap disleksia sejak kecil turut berkongsi pengalamannya bersama peserta MMG yang lain.

“Pada mulanya, saya tidak mengetahui bahawa saya sebenarnya menghidap disleksia. Namun, semasa darjah satu, saya menyedari bahawa saya sering gagal dalam peperiksaan, biarpun selepas belajar dengan bersungguh-sungguh.

“Namun, ia tidak langsung menghalang saya untuk berjaya kerana kini saya mempunyai perniagaan dan syarikat sendiri biarpun berdepan cabaran sebagai penghidap disleksia,” kongsinya.

Sebagai menghargai kanak-kanak di Dyslexia Genius Titiwangsa, pusat pembelajaran itu turut bekerjasama dengan peserta MMG untuk menghasilkan kemeja-T yang tertera perkataan-perkataan ditulis oleh penghidap disleksia yang kemudiannya akan dilelong pada malam kemuncak MMG yang akan diadakan pada 5 November depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI