MANDALIKA – Pelumba Pramac Racing, Jorge Martin tidak cemas biarpun dia terlepas untuk mempertahankan kedudukan carta keseluruhan kejuaraan dunia MotoGP apabila terjatuh sewaktu bersaing di Grand Prix (GP) Indonesia lewat petang kelmarin.
Pelumba Sepanyol itu yang melakar kemenangan empat kali berturut-turut dalam perlumbaan Sprint dan tiga kemenangan sebelum ini membolehkannya memintas Francesco Bagnaia untuk berada di kedudukan teratas dengan kelebihan tujuh mata.
Bagaimanapun, segalanya musnah apabila Martin melakukan kesilapan apabila terjatuh pada pusingan ke-13 dan menyaksikan Bagnaia kembali dihadapan dengan kelebihan 18 mata dihadapan selepas mengumpul 346 mata.
Tegas Martin, terdapat baki 10 lagi perlumbaan dan di tekad untuk bangkit dalam lima perlumbaan akan datang.
“Saya akui, saya telah melakukan kesilapan. Apapun, saya telah melakukan dengan baik pada perlumbaan hari ini dan saya antara yang terpantas.
“Jadi, dengan situasi ketika ini saya perlu tenang dan terdapat laagi 10 perlumbaan. Perjalanan masih lagi jauh,” katanya Martin.
Dalam pada itu, Bagnaia akui kemenangan tersebut memberi 1001 makna kepadanya sebelum bergelut dengan kecederaan sebelum ini.
“Bagi saya kemenangan ini memberi makna kepada saya. Perlumbaan sangat kompetitif dan saya juga beberapa kali bergelut untuk mendapatkan perlumbaan yang baik sebelum ini.
“Secara jujur, kemenangan hari ini memberi motivasi kepada saya dan kepada pasukan. Mereka sentiasa cuba memberikan semaksimum yang boleh,” katanya. – AGENSI