fbpx

Lelaki dipenjara 12 bulan, ugut anak tunaikan solat guna pisau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

TAWAU – Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara ke atas seorang lelaki atas kesalahan ugutan jenayah kepada anak lelakinya pada Ogos lalu.

Majistret Don Stiwin Malanjum memutuskan hukuman berkenaan selepas tertuduh, Ardi Aris, 32, mengaku bersalah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, melakukan perkara itu dengan mengacukan sebilah pisau dengan niat menakutkan anak lelakinya, Zack Azroy, 13.

Tertuduh berbuat kesalahan terbabit di rumah keluarga itu yang beralamat di Batu 8 Jalan Tiku pada 4 Ogos lalu sekitar pukul 9 pagi.

Menurut fakta kes, tertuduh secara tiba-tiba dipercayai mendatangi ke rumah bekas iparnya pada hari kejadian.

Lelaki terbabit dikatakan terus meluru ke dapur rumah dan mengambil sebilah pisau lalu mengacukan kepada mangsa sambil mengarahkannya menunaikan solat.

Mangsa yang dalam ketakutan bagaimanapun bertindak menuruti arahan bapanya itu, sebelum ibu saudaranya menghubungi pihak polis.

Akibat tindakan itu, lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh yang bekerja di sebuah premis mencuci kereta dan sudah bercerai dengan isterinya sebelum ini pernah dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu kerana disyaki mengalami masalah mental.

Sementara itu, tertuduh dalam rayuannya bagaimanapun memohon kepada Mahkamah supaya hukuman diringankan dengan alasan sudah insaf selain menyesal atas perbuatannya itu.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan hukuman pemenjaraan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan iaitu pada 4 Ogos 2023.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI