PETALING JAYA – Seorang pensyarah berasa sayu apabila mengenangkan nasib pelajarnya yang terpaksa ikat perut dan makan sekali sehari disebabkan harga makanan yang terlalu mahal.
Menurut hantarannya di laman TikTok @ir.abdulrahmanbahasa, perkara tersebut merupakan satu realiti yang terpaksa ditanggung para pelajar zaman sekarang.
“Sebelum ini, saya sempat bersembang dengan seorang pensyarah. Menurutnya, terlalu ramai pelajar tidak mampu untuk membeli sarapan dan terpaksa makan sehari sekali.
“Apabila saya melawat kawasan kafe dalam kampus, alangkah terkejut apabila melihat harga seketul ayam, telur dadar dan secawan teh ais boleh mencapai RM9,” katanya dalam hantaran sama.
Tambah pensyarah tersebut, selepas dikira-kira, seorang pelajar perlukan sekurang-kurangnya RM270 untuk sekali makan selama sebulan.
“Sekarang saya faham kenapa ramai pelajar tidak bersarapan. Ini baru kos makan, belum lagi kira kos-kos lain,” ujarnya.
Meninjau ke ruangan komen, ramai pelajar mengakui sedang menghadapi masalah sama dan terpaksa ikat perut kerana itu adalah satu-satunya cara untuk mereka menjimatkan wang.
“Tidak sarapan, makan tengah hari pula lewat petang. Malam pun tak makan. Esok ulang benda sama,” kata Swjd.
“Begitulah hidup seorang pelajar, sehari makan sekali sahaja. Cuba tahan sampai petang esok. Duit hendak guna bayar tambang bas pergi balik lagi,” kata Syrah.
“Macam mana pelajar nak hidup. Makan pun terpaksa catu. Kalau beli barang basah, ayam kena potong kecil-kecil. Belum lagi bayar rumah sewa, bil dan keperluan harian,” kata Noname.
“Saya selalu beri duit belanja RM500 pada anak untuk makan sahaja. Saya tidak pasti cukup atau tidak untuk tiga kali makan. Saya selalu tanya anak, duit cukup tak? Tapi dia selalu jawab cukup walaupun kadang-kadang terpaksa makan sekali sehari,” luah Irma.
Kini, hantaran tersebut menerima 46,400 tanda suka dan 1,885 komen. – KOSMO! ONLINE