fbpx

Mahkamah: Bekas KP Miros didakwa palsu dokumen, dilarang sentuh komputer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairil Anwar ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. -Foto SYAKIR RADIN

SHAH ALAM – Bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas empat pertuduhan pemalsuan dokumen sebut harga bagi 16 buah kenderaan untuk ujian perlanggaran, enam tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Dr. Khairil Anwar Abu Kassim, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Khairil Anwar didakwa memalsukan dokumen sebut harga bagi pembekalan 16 buah kenderaan jenis Suzuki Carry dan Cherry Transcab dari empat buah syarikat berlainan dengan niat menipu.

Kesemua kenderaan dari Thailand itu bagi ujian perlanggaran di makmal Miros di Bukit Katil, Melaka.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah premis di Taman Kajang Sentral pada 24 Julai 2017.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, bagi setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd. Zamry menawarkan jaminan RM100,000 bersama seorang penjamin dengan syarat tambahan menyerahkan pasport dan melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap awal bulan.

Pada prosiding tersebut, Mohamad Fadhly turut memaklumkan tertuduh masih bekerja di Miros dan saksi juga adalah kakitangan agensi tersebut.

Difahamkan tertuduh kini dipindahkan ke bahagian lain di agensi tersebut.

Bagaimanapun, Peguam Datuk Geethan Ram Vincent memohon ikat jamin dikurangkan kepada RM20,000 dan tidak membantah syarat dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM50,000 bersama penjamin dan membenarkan syarat tambahan lain.

“Saya juga mengeluarkan perintah supaya tertuduh tidak berhubung dengan mana-mana saksi sama ada langsung atau tidak langsung. Ini bahaya disebabkan tertuduh masih bekerja di situ.

“Tertuduh juga tidak dibenarkan mengakses sebarang peralatan komputer dan dokumen di tempat kerjanya. Perintah ini akan dipanjang ke tempat kerja anda (tertuduh),” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI